Home »
Nur Kasih/Malay Drama
» Sinopsis Drama Nur Kasih Episode 1 - 26 (Tamat) yang disiarkan di TV3 setiap hari Jumaat pukul 9.00 malam
Sinopsis Drama Nur Kasih Episode 1 - 26 (Tamat) yang disiarkan di TV3 setiap hari Jumaat pukul 9.00 malam
Sinopsis Drama Nur Kasih Episode 1 hingga 26 (Tamat)
Waktu Tayangan: Setiap hari Jumaat pukul 9.00 malam di TV3
Dibintangi oleh:
Fizz Fairuz, Remy Ishak, Tiz Zaqyah Razak, Sharifah Sofia, Dato' Jalaluddin Hassan
Episode 1
Di Mesir, Aidil bersolat menadah tangan untuk berdoa. Di Australia, Adam sedang belajar dikelilingi kawan-kawan dan tin-tin beer, hilai ketawa. Ustaz Hassan dikejutkan isterinya Hjh Khadijah lalu doktor menerangkan apa yang telah diketahuinya. Hayatnya telah sampai ke penghujung. Penyakit yang dihidapinya tidak dapat diubati lagi. Dia senyum dengan tenang dan menutup matanya lagi. Aidil mengucapkan selamat tinggal kepada kawan sekuliahnya setelah mereka tamat pengajian. Aidil menerima panggilan telefon dari Hjh Khadijah menyampaikan berita tentang ayahnya. Adam pulang ke hostel dan mendengar suara ibunya dari mesin pesanan suara, dia kaku tiada reaksi. Di stesen keretapi Kuala Lumpur Aidil menunggu ketibaan Adam. Tiada bayang-bayang Adam. Aidil kecewa dan menaiki keretapi. Adam tiba dan duduk di sebelah Aidil. Mereka berpelukan, keretapi meluncur laju. Aidil dan Adam tiba di Kuala Kangsar dan pandangan mereka tertumpu pada seorang gadis jelita, Nur Amina.
Episode 2
Pandangan Aidil dan Adam membuat Nur berpaling. Aidil mengalihkan pandangan dan mengajak Adam mencari teksi. Nur menghantar temannya, Nabila yang melanjutkan pelajaran ke universiti.
Rasa terkilan terpancar diwajahnya. Hati Adam berbisik sangkanya tidak akan pulang lagi. Hjh Khadijah gembira akan kepulangan anak-anaknya. Aidil menapak ke masjid mencari bapanya dan dia melihat Nur berjalan ke masjid. Melihat bapanya, Aidil sebak dan salam tangannya. Selepas solat, Ustaz memberi salam pada imam Abu Bakar sebelum melangkah pulang bersama Aidil. Adam resah, dia mengucup tangan Ustaz, kelu tidak tahu bagaimana memulakan bicara. Hubungannya dan ayahnya sudah lama renggang. Ustaz bersyukur dia sempat melihat anak-anaknya sebelum dia pergi. Ustaz menyoal Aidil siapakah wanita solehah yang menjadi pilihannya? Aidil menjawab Nur Amina pilihannya dia mempunyai ciri isteri mithali. Tanpa diduga, Ustaz melakukan sebaliknya menghantar rombongan meminang Nur Amina sebagai isteri kepada Adam.
Episode 3
.
Tindakan Ustaz Hassan mengejutkan semua. Nur belum bersedia untuk menjadi seorang isteri kerana ingin meneruskan pelajarannya. Pak Imam berkata jodoh telah ditentukan. Adam cuba menolak, tapi dihalang ibunya. Aidil tidak mengerti kenapa ayahnya telah membuat keputusan ini. Dengan lembut Ustaz Hassan berkata Aidil anak yang soleh yang dapat memilih calon isteri dengan tepat, yang dapat membimbing keluarga. Adam tidak dapat melakukan semua itu. Dia perlukan seorang isteri mithali, Nur Amina di sampingnya. Upacara perkahwinan Adam dan Nur berlangsung, dalam sekelip mata tiga hati berkecai. Aidil yang mengharapkan cinta Nur, Nur yang mahukan meneruskan pelajarannya, dan Adam yang mahu mengahwini teman wanitanya, Katrina. Tapi ada yang gembira. Sarah yang telah lama menaruh hati pada Aidil gembira kerana ikatan kekeluargaan mereka semakin rapat dan seterusnya dapat merapatkan dirinya dengan Aidil. Aidil menjadi saksi pernikahan adiknya, walaupun hatinya sendiri remuk.
Episode 4
Malam pertama Adam dan Nur, Adam berterus-terang ini keputusan ayahnya dan dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Nur. Mereka hanyalah mangsa keadaan dan penceraian akan berlaku pada masa yang sesuai. Nur terkejut, malu, marah dan kecewa. Ketika Adam 17 tahun dia kacak dan cerdas. Sewaktu Nur 13 tahun dia menjual kuih kanak-kanak nakal datang mengejeknya dan Adam menyelamatkannya. Aidil tidak dapat tidur terdengar esakan perlahan Nur. Hari esoknya Nur dan Adam berpura seperti segalanya adalah baik-baik belaka. Aidil meminta Adam supaya tidak mensia-siakan Nur. Adam menjelaskan dia telah menerangkan semuanya pada Nur pada masa yang sesuai “lakonan” ini akan dihentikan dan mereka akan menjalani hidup masing-masing. Hjh Khadijah dapat merasakan apa yang sedang berlaku dalam rumahnya ada tiga insan yang terluka. Dia berbincang dengan suaminya adakah tepat keputusan yang telah dibuat? Ustaz yakin keputusan ini terbaik untuk semua. Ustaz Hassan akhirnya meninggal dunia.
Episode 5
Setelah pemergian Ustaz, Adam berkeputusan untuk kembali ke Australia tapi hatinya berat. Adam nekad beritahu ibunya dia mahu sambung pengajiannya. Ibunya merelakan pemergiannya bersama Nur. Adam beritahu Aidil keinginannya untuk pergi ke Australia tanpa Nur. Aidil marah akan perbuatan Adam. Nur terdengar perbualan itu. Adam masuk ke bilik, mengingatkan Nur akan janji mereka, Nur berkata dia tidak pernah bersetuju. Adam marah dan tegur mereka seperti langit dan bumi, berbeza dari segala segi. Hati Nur tertusuk akan kata-kata Adam. Paginya, Nur tinggalkan rumah dan ucapkan selamat tinggal pada keluarganya. Dia biarkan mereka berfikir yang dia akan pergi bersama Adam. Dia terima sepucuk surat, pinjaman pendidikannya telah pun diluluskan. Adam mengucapkan selamat tinggal pada ibunya. Bila Ibu menanyakan Nur, Adam mahu berterus-terang, tapi Aidil berjaya berdalih. Dia kunci rahsia mereka dan teruskan hidupnya mengharapkan cinta yang tidak tiba.
Episode 6
Di Australia, Katrina anak kacukan tidak pernah hidup sebagai seorang Muslim. Selepas kematian ibunya pada usia 10 tahun, dia kehilangan satu-satunya kaitan dengan Islam. Dia jatuh cinta pada Adam kerana dia mengisi kekosongan hatinya sejak kehilangan ibunya. Adam mahu tinggalkan semua pengalaman pahit di Malaysia dan mulakan hidup baru. Dia menikahi Katrina dan berteraskan cinta istilah agama tidak pernah muncul dalam kehidupan mereka. Adam hanyut dengan hidup ini, dan lupa dia masih beristerikan Nur. Nur berhijrah ke KL dan berjaya menjejaki temannya. Nur menceritakan segala-galanya dan meminta temannya itu merahsiakan perkara sebenar. Kos pendidikannya tidak cukup untuk sara hidupnya. Nur mengajar mengaji untuk menampung perbelanjaannya. Aidil meneruskan kerjayanya di mahkamah syariah negeri. Ibunya merasakan kemurungannya dan menasihatinya supaya merelakan. Ibu menawarkan untuk mencari jodoh buat Aidil, tapi dia belum bersedia.
Episode 7
.
Nur tidak pandang lelaki lain kerana dia masih seorang isteri. Dia dicap sombong tapi Nur tidak pedulikan cakapan orang, matlamatnya hanya sebuah ijazah. Adam dan Katrina terus hanyut dalam dunia mereka. Mereka dikenalkan kepada penuntut baru dari Malaysia, Nur namanya. Adam pucat dan Katrina pelik akan reaksi suaminya. Rupanya bukan Nur Amina. Rasa bersalah menyelubungi Adam. Dia melupakannya dengan minum arak. Kuliah Nur hampir selesai, dia akur masa untuk berterus-terang dengan keluarganya. Aidil dijemput memberikan ceramah di UIAM. Dia bertemu dengan Nur yang cuba melarikan diri tapi Aidil berjaya menegurnya. Nur malu dengan apa yang terjadi. Aidil kata dia telah merahsiakan semuanya. Dia harus selindung perasaannya yang sebenar dan berkata dia lakukannya atas rasa tanggungjawab. Sejak pemergian Adam, tiada berita. Dia sendiri hantar e-mail gembira pada ibunya, seolahnya dari Adam dan Nur. Setelah itu Aidil dan Nur berutus surat dan ini eratkan persahabatan mereka.
Episode 8
Adam kini seorang arkitek yang berjaya, tetapi merasakan jiwanya kosong. Dia gembira Katrina mengandung, fikirnya zuriat akan mengisi jiwanya yang tandus. Tetapi mereka terlibat dalam kemalangan yang teruk, kandungan anak Katrina mati dan dia akhirnya tidak dapat mengandung lagi. Adam dihukum penjara 3 bulan kerana memandu dalam keadaan mabuk. Nur berjaya di menara gading, dan Aidil cuba menghubungi Adam untuk membebaskan Nur dari ikatan yang tidak bertali ini tapi Adam tidak dapat dihubungi. Tiga bulan di penjara, Adam sedar hidupnya yang jauh terpesong. Sebaik bebas, Adam mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia, Katrina yang kemurungan setelah kehilangan bayinya, bersetuju.
Episode 9
Adam menghantar e-mail pada abangnya yang dia akan pulang, tapi Adil tidak buka pesanan tersebut hingga beberapa hari selepasnya. Sebaik membaca e-mail tersebut, Aidil bergegas ke kampung untuk menghalang Adam dari cerita perkara sebenarnya pada ibu. Aidil berkongsi pada Adam apa yang berlaku sepeninggalannya dan rayu Adam menyimpan rahsia sementara waktu. Adam memperkenalkan isterinya Katrina pada Aidil yang tersentap, tapi masih cuba senyum. Pada hari yang sama, Nur juga pulang ke kampong ingin berterus-terang pada bapanya. Nur terperanjat bila diberitahu oleh adiknya Sarah, Adam ada di rumah ibunya sekarang. Nur bergegas kearah rumah Adam dan bingung kenapa dia meneruskan kepura-puraan ini. Adam pinta Nur berikan peluang untuknya menebus kesalahannya dulu.
Episode 10
Aidil memberitahu Adam tidak adil baginya untuk muncul semula dan harapkan untuk kembali dengan Nur, terutama kini dia sudah beristerikan Katrina! Adam mengakui yang dia memerlukan Nur. Hidupnya kini terumbang-ambing. Dia menceritakan pada Aidil kehilangan anaknya. Aidil simpati, berbelah bagi, dia mahu adiknya pulang ke pangkal jalan tetapi dia takut kehilangan Nur sekali lagi. Nur mengadu pada Aidil yang dia keliru, tetapi Aidil nasihati untuk megikut kata hatinya. Sarah melihat perbincangan mereka dan rasa cemburu menyelubungi dirinya. Adam bertanyakan Nur kali kedua tapi jawapan Nur tetap sama. Tidak. Nur memberitahu Adam mungkin belum masanya untuk jelaskan Ibu perkara sebenar, dan ia tidak bermaksud dia akan menerima Adam. Dia sudah ada tawaran pekerjaan di KL dan dia akan teruskan hidupnya seperti selama ini tanpa Adam. Sementara itu Katrina tertanya-tanya apa yang telah berlaku dan bila dia akan berjumpa dengan keluarga Adam.
Episode 11
Nur bekerja di sebuah firma arkitek. Selang beberapa minggu, dia diberitahu akan mendapat bos baru. Bagai terhenti jantungnya bila mendapati bos tersebut adalah Adam. Nur ingin meletakkan jawatan, tapi Adam menghalangnya. Kalau begitu sekali Nur membencinya hingga tidak sanggup memandangnya, maka dia yang akan pergi. Nur hairan, kenapa Adam lain benar dari dulu. Nur buat keputusan untuk meneruskan kerjanya. Adam semakin tertarik dengan isterinya ini. Sementara itu hubungannya dengan Katrina semakin renggang. Katrina mahukan belaian suaminya, tapi Adam semakin menjauhkan diri. Adam mula mendekatkan diri dengan tikar sembahyang. Katrina bingung. Mana suaminya yang dikahwini dulu? Siapa lelaki Muslim yang mahukan dia bertudung dan bersembahyang ini? Katrina semakin kemurungan. Nur dan Adam tidak dapat mengelakkan diri bila dihantar untuk melihat tapak projek terbaru di sebuah kawasan peranginan, dan mereka semakin rapat.
Episode 12
Sebaik Nur dan Adam pulang dari tempat peranginan tadi, Aidil mengunjungi Nur. ingin tahu khabarnya.. Nur berkata dia semakin membiasakan diri dengan kehadiran Adam. Dia mengakui merindui surat-surat Aidil, yang banyak memberinya kekuatan. Sarah datang mencari Nur di tempat kerja, terkejut mendapati Nur dengan Aidil. Perasaan cemburunya membuak. Nur terkejut melihat Sarah. Sarah pinta penjelasan. Sangka Nur, Sarah ketahui tentang dirinya dan Adam. Dia ceritakan segalanya dan pinta Sarah
merahsiakannya. Rasa cemburu Sarah mendorongnya untuk memusnahkan ikatan persahabatan antara Nur dan Aidil. Dia menulis surat tak bernama pada Adam yang Nur dan Aidil berhubungan sulit. Adam berdepan dengan Aidil dan Nur. Nur bersumpah tidak pernah menduakan suaminya. Di sudut hati, Aidil menangis mendengar kenyataan Nur. Tapi dia mengiyakannya pada Adam, mereka tidak pernah melebihi batasan sebagai saudara. Adam meminta maaf pada Nur dan Aidil.
Episode 13
Adam dan Nur semakin rapat. Adam berkongsi impiannya bersama Nur. Dia mahu mereka membina hidup baru bersama dikelilingi oleh tawa anak-anak . Hati Nur yang dulu terguris, yang dulu menolak cinta, akhirnya mengakui yang dia juga menyimpan perasaan sayang pada lelaki bernama suami itu. Aidil nasihati Adam supaya tidak melukakan lagi hati Nur. Jika dia ingin memiliki Nur semula, buatlah dengan niat yang ikhlas. Nur mendapat tahu yang Adam mempunyai isteri yang lain Katrina. Katrina merayu padanya supaya tidak merampas suaminya. Katrina jelaskan apa yang telah berlaku, dan Adam cuma inginkan zuriat, itu saja. Dia tidak mencintai Nur, sebagaimana dia mencintai Katrina. Nur kecewa lagi dengan Adam. Dia membawa diri, pergi dari KL. Adam memarahi Katrina kerana melukakan hati Nur. Tanya Katrina, haruskah dia berdiam diri sementara suaminya dirampas perempuan lain? Adam berterus-terang yang Nur itu isteri pertamanya. Katrina rasakan dunianya runtuh dan melarikan diri meninggalkan Adam.
Episode 14
Setahun kemudian, Nur bekerja sebagai agen di Mekah menguruskan jemaah Malaysia. Jiwanya tenang dan telah belajar melupakan Adam. Sewaktu dia mengiringi jemaah, dia terdengar suara memberi salam. Kelihatan Adam berdiri di depannya, berihram dan kepala yang bercukur. Nur hampir tidak mengenalinya, dia menyapa dengan baik dan gembira Adam terpanggil untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Adam menjemput Nur ke hotel dia menginap, Nur menolak dengan baik. Hatinya sudah tertutup untuk Adam. Adam pinta Nur datang untuk ibunya yang sudah mengetahui perkara yang sebenar. Ibu teringin sangat untuk berjumpa dengan Nur. Nur serba-salah, terngiang nasihat majikannya, Ummu Majid yang dianggapnya seperti ibu angkatnya bahawa tiada masalah yang akan selesai dengan melarikan diri. Aidil datang berjumpa dengan Nur, sampaikan hajat ibunya untuk bertemu dengan Nur. Nur akur tapi meminta supaya Adam tidak berada di situ. Aidil kata Adam telah benar-benar berubah kali ini.
Episode 15
Nur sebak dan terus bersalam dan memeluk Ibu. Aidil senyum hiba dan Adam memerhati, matanya berkaca. Nur mengalah akan pelawaan Ibu makan malam bersama. Nur kata dia harus pergi segera, tapi Adam pintanya jangan lari setiap kali berjumpanya. Bukan niatnya untuk mengejar jika pintu hati Nur terbuka untuk terima Adam akan berada di sisi Nur. Jika hatinya masih tertutup dia akan menunggu. Nur terharu tapi begitu takut dikecewakan lagi oleh suaminya itu. Adam pinta isterinya memaafkan semua perbuatannya yang lalu dan berhasrat untuk berjalan ke Masjidil Haram bersama isterinya. Nur menggelengkan kepala, Adam kecewa tapi redha. Aidil melihat dan bersuara ke Nur kembali pada Adam, jodohnya dan Adam sudah tertulis. Dia sebak akan segala pengorbanannya. Ibu berdoa kepada Ilahi, berikanlah kebahagiaan pada Aidil yang selama ini telah berkorban, berikanlah dia cinta seorang isteri. Sebaik airmata Ibu jatuh ke tanah, pandangan Aidil bertembung dengan seorang gadis yang berabaya dan niqab, sinaran matanya menusuk ke hati Aidil.
Episode 16
Gadis tersebut ditemani oleh bapanya dan berjalan menuju ke hotel yang sama tempat Aidil menginap. Sebaik melangkah masuk, ibu mengenggam tangan Aidil, dan berkata dia bangga punyai anak seperti Aidil. Dia bersyukur kerana pengorbanan Aidil, Adam kini kembali ke pangkal jalan. Ibu mahukan yang terbaik untuk Aidil dan dia percaya yang terbaik jugalah dimiliki Aidil. Aidil senyum, mengerti ibunya. Mata Aidil melirik kearah gadis tadi, dan Ibu tersenyum. Ibu nasihati Adam supaya membebaskan Nur. Kata Adam dia tidak akan berbuat demikian kecuali dipinta sendiri oleh Nur.Dia masih menaruh harapan.. Adam terima sepucuk surat dari Nur yang sudah memaafkannya dan dia juga pinta supaya Adam memaafkannya. Dia sedar dia bukan isteri yang sempurna dan mengizinkan Adam untuk mencari penggantinya. Adam membalas surat Nur dia tidak akan mencari pengganti diri Nur. Baginya Nur isterinya hingga ke akhir hayat. Dia menamatkan suratnya dengan sebuah doa.
Episode 17
Setahun kemudian, Adam kini telah membuka firma arkiteknya sendiri yang membuat pengkhususan dalam senibina Islam. Dia terkejut bertemu dengan Nur Aminayang sudah pulang ke Malaysia. Adam bertanya jika Nur kembali untuk selamanya. Dan sudah temui kebahagiaan yang dicari? Nur angguk. Nur tanya kenapa Adam berhenti menulis email pada Nur. Sangka Adam Nur tidak pernah membaca surat-suratnya, tadi Nur kata dia membaca setiap satu daripadanya. Adam menjemput Nur pulang ke kampung bersamanya untuk majlis pernikahan Aidil. Aidil bersyukurAdam dan Nur bersatu. Adam berterima kasih atas pengorbanan abangnya. Adam dan Nur kembali ke bilik mereka menghabiskan malam pertama mereka dulu. Setelah bertahun lamanya, ini kini malam
pertama mereka dalam erti kata sebenar.
Episode 18
Suasana masih riuh rendah dengan hilai tawa orang kampung menyediakan majlis. Adam dan Nur diusik kerana kemesraan mereka. Nur memujuk Sarah yang kecewa kerana Aidil akan melangsungkan pernikahan dengan orang lain. Kata Nur jodoh ditangan Tuhan. Kata Sarah,.Aidil pilih Aliya kerana dia anak orang kaya. Nur menegur Sarah. Nur mengucapkan tahniah pada Aidil, dan Aidil mengharapkan kebahagiaan buat Nur dan Adam. Nur harap akan berjumpa Aliya dalam masa yang terdekat. Menurut Aidil, Aliya menerima dia seadanya. Sarah menasihatkan Nur supaya berhati hati agar tidak kecewakan lagi oleh Adam tapi Nur semakin yakin dengan keputusannya, Adam pilihan terbaik untuknya. Mereka saling berbalas pandang, dan tersenyum. Majlis berlangsung dengan penuh meriah.. tetapi tiba seorang tetamu yang tak diundang..Katrina.
Episode 19
Adam dan Nur terkejut dengan kehadiran Katrina yang kini berhijab. Katrina menceritakan kisah hidupnya, selepas dia meninggalkan Adam, untuk menenangkan diri setiap malam berpesta, bertukar pasangan, mabuk. Di Jakarta dia mengenali seorang wanita yang membimbingnya dekat pada Islam. Nur menjemput Katrina untuk tinggal dengan mereka untuk sementara waktu. Ibu bertanya pada Nur dan Adam siapa Katrina sebenarnya. Nur cuba berdalih, tapi Adam tidak mahu membohongi ibunya lagi. Ini Katrina, isteri keduanya yang dinikahi di Australia. Dibalut perasaan bersalah terhadap Katrina, Adam sedia menerimanya kembali, dengan izin Nur. Katrina menyatakan pada Nur dia tidak ingin merampas hak sesiapa, hanya berkongsi kasih seorang suami. Nur angguk dan memeluknya. Katrina berkata, sungguh mulia hati Nur, dan semoga Allah S.W.T. melindunginya sentiasa.
Episode 20
Adam, Kat dan Nur belajar hidup bermadu. Kat merasai dia mengganggu kebahagiaan Adam dan Nur dan selalu mengalah. Adam cuba bertindak seadil adilnya. Dia berkongsi masalah dengan Aidil. Dia merasakan jalan yang terbaik adalah untuk menceraikan Katrina, tetapi rasa tanggungjawabnya menebal. Dia yang seharusnya membimbing isterinya itu, bukan dilepaskan supaya mencari jalan sendiri.. Kata Aidil, dia harus mendengar kata hatinya sendiri. Aidil dan Aliya hidup bahagia walaupun Aidil risau Aliya tidak dapat menyesuaikan diri dengan rumah kampung mereka. Sarah cuba memasang jarum dalam kehidupan mereka, dan bercerita padanya Aidil sebenarnya cintakan Nur. Terkejut Aliya. Dengan selamba Sarah bercerita, Aidil sebenarnya sepatutnya mengahwini Nur, tapi atas permintaan akhir arwah Haji Hassan, Adam yang dikahwinkan dengan Nur tapi cintanya pada Nur tidak pernah padam. Aliya dihambat rasa cemburu. Dia minta Aidil berterus terang.
Episode 21
Kata Aidil itu semua cerita lama tiada lagi wanita lain dihatinya selepas berjumpa dengan Aliya. Aliya masih belum pasti, Aidil cuba meyakinkan Aliya tapi hubungan mereka terus renggang. Adam memberitahu Nur dia akan melepaskan Katrina. Nur memujuknya supaya jangan, dan bersabar. Sewaktu menunaikan solat subuh bersamasama, Katrina pengsan, mereka cuba menyelamatkannya, tapi terlambat. Menurut doktor dia meninggal kerana brain aneurism. Semuanya terkejut, tiada. Adam, Nur dan keluarga di pusara Katrina. Seolah telah menjangkakan kematiannya, Katrina meninggalkan sepucuk surat kepada Adam dan Nur, supaya berbahagia dan supaya tidak lupa yang nur kasih sebenarnya, adalah Kasih kepada Nya..
Episode 22
Sarah semakin rancak meracuni fikiran Aliya supaya Aliya melihat sendiri keakraban Aidil dan Nur. Sarah kata pada Nur, menurut Aliya, Aidil masih simpan perasaan terhadapnya. Dan ini meretakkan hubungan mereka. Nur pinta berjumpa dengan Aidil untuk penjelasannya. Aidil berkata dia hanya simpan perasaan terhadap Nur sebagai seorang adik. Aidil mengiyakan dia pernah menyayangi Nur dahulu. Tanpa pengetahuan mereka, Sarah dan Aliya mendengar perbualan mereka. Pucat lesi muka Aliya. Adam juga ada mendengar perbualan itu. Sambung Aidil, Nur seorang wanita yang sempurna, dan sangkanya dia akan dikahwinkan dengan Nur, sebaliknya yang berlaku. Dia rela berkorban melepaskan wanita yang disayanginya untuk adiknya. Aliya tidak dapat mendengar lagi, lalu pergi. Adam sebak mendengar pengakuan abangnya dan pergi juga. Aidil berkata perkara yang lepas sudah dilupakannya. Jodoh Nur bersama Adam, dan dia bersama Aliya itu sudah tertulis. Nur lega akan penjelasan Aidil, dan Sarah tersenyum sendiri.
Episode 23
Aidil mendapati Aliya telah pulang ke rumah ibu bapanya. Dia cuba berjumpa tapi Aliya mahu bersendiri. Sarah berkata Aliya tidak tahan dengan cara kampung dan rindukan kemewahannya. Hancur hatinya Aidil sampai bila pun dia tidak akan mampu memberikan kemewahan sebegitu pada isterinya. Dia berjumpa dengan Adam yang tidak belas kasihan. Adam bertanya jika Aidil jujur cintanya pada Aliya. Aidil terhina ditanya begitu. Nur juga perasan yang Adam menjauhkan diri. Adam ditugaskan ke Mumbai, sebelum berlepas dia pinta maaf pada Aidil atas semua kesalahannya yang terdahulu. Setelah pemergian Adam, Nur terkejut bila dikhabarkan Mumbai diserang pengganas, dan hotel Adam telah ditawan. Nur dan Aidil cuba mendapatkan kepastian dari Wisma Putra, tapi tiada berita. Ibu juga tidak putus-putus berdoa untuk keselamatan Adam. Nur berkeputusan untuk ke sana, setelah Adam disahkan ada dibiliknya pada masa ia diserang. Tetapi mayatnya tidak ditemui dan dia diklasifikasikan sebagai hilang.
Episode 24
6 bulan kemudian, ibu bertanya pada Nur sampai bila dia mahu hidup sendiri. Kata Nur, Adam menunggu Nur lama dan Nur akan tunggu dia seumur hidupnya. Aidil hilang akal, kehilangan Adam dan Aliya. Nur memujuknya supaya berjumpa Aliya. Aidil dan Aliya bertemu dan Aidil rela melepaskannya jika itu yang dia mahu. Aliya sedih, tanya kembali apakah itu yang diinginkan Aidil? Aidil keliru. Kata Aiya dia tahu Nur bersendiri mungkin Aidil mahu mengahwininya. Aidil menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, dan Aliya juga. Mereka akhirnya mendapat tahu yang ini semua adalah angkara Sarah. Aidil dan Aliya kembali bersama. Sewaktu Aidil bersembang dengan ibunya mereka melihat keadaan Nur senyum bersedih. Tanya ibu, kalau ditakdirkan Adam telah pergi, sanggupkan Aidil mengahwini Nur? Aliya mendengar soalan itu. Aidil berkata dia tidak sanggup menduakan Aliya. Aliya terharu.
Episode 25
Aliya merapati Nur dan memberitahunya yang dia mengizinkan Aidil mengahwini Nur jika itu takdir mereka. Nur menggeleng cintanya hanya pada Adam dan dia akan tetap menjadi isteri Adam. Setiap hari Nur menulis email pada Adam. Dia bercerita pada Adam segala-galanya yang berlaku dalam hidupnya seperti yang dilakukan Adam dahulu. Walaupun dalam surat Nur cuba ceria, sebaik selepas menulis, dia menitiskan air mata. Adam turut menitiskan airmata sambil membaca email di Mumbai. Adam kini bermisai dan berjambang. Soal temannya tidak mahu pulangkah dia? Kata Adam, buat pertama kali dalam hidupnya, dia mahu berkorban untuk abangnya, dia mahu Aidil bahagia. Sarah yang melihat kakaknya menulis surat setiap hari pada Adam merasa cukup bersalah. Tanpa pengetahuan Nur, Sarah mula menulis surat untuk Adam.
Episode 26
Nur menghabiskan masa dengan anak-anak di masjid. Suatu hari, Aidil melihat Nur menangis, airmata berlinangan di pipi. Aliya mendekatinya mengingati perbualan mereka yang dia mengizinkannya. Aidil merapati Nur dan berkata dia sanggup menjaga Nur. Nur memandang Aidil, kemudian Aliyadan Nur menggeleng perlahan. Nur membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak mahu lagi menjadi penyebab renggangnya hubungan Aidil dan Aliya. Dia ke stesen keretapi, dihantar Aidil dan Aliya. Sewaktu keretapi berhenti, seorang lelaki berjambang turun. Nur, Aidil atau Aliya tidak sedar akan ketibaannya. Nur bersalam dengan Aidil dan Aliya.. Tudung Nur terbang di tiup angin dan dia menaiki keretapi. Dalam keretapi, Nur memandang keluar, Adam tiba disisinya sambil memberi salam. Nur terkejut, memandangnya, bersyukur.. dia tahu Adam akan pulang juga ke pangkuannya. Mereka berpelukan.
sumber: (Terima kasih dan kredit diberikan kepada
http://www.perekacerita.com/
dan semua pihak atas sumber maklumat dan gambar)
18:30